Tuesday, March 15, 2011

20 Kitab Hadith Yang Utama

Kata Al-Imam Asy-Syafi'i(rhm) : "Sekiranya aku terpandang seorang lelaki dari kalangan tokoh-tokoh hadith, maka seolah-olah aku telah terpandang seorang lelaki daripada sahabat-sahabat Rasulullah SAW. Allah SWT membalas mereka dengan kebaikan..."


Ini adalah 20 kitab hadith yang utama yang tertibnya mengikut tahun wafat para Imam pemilik kitab-kitab tersebut.

1.  Al-Muwaththa' Al- Imam Malik (179 H)

2.  Al-Mushannaf Abdul Razzaq (211 H)

3.  Al-Mushannaf Ibnu Abi Syaibah (235 H)

4.  Musnad Imam Ahmad (241 H)

5.  Sunan ad-Darimi ( 255 H)

6.  Sahih Bukhari (256 H)

7.  Sahih Muslim (261 H)

8.  Sunan Ibnu Majah (273 H)

9.  Sunan Abu Daud (275 H)

10.Sunan at-Tirmidzi (279 H)

11.Sunan an-Nasa'i (303 H)

12.Musnad Abi Ya'la Al-Mushaili ( 307 H)

13.Sahih Ibnu Khuzaimah ( 311 H)

14.Sahih Ibnu Hibban ( 354 H)

15.Mu'jam Al-Kabir (at-Thabarani) ( 360 H)

16.Mu'jam Al-Ausath (at-Thabarani) (360 H)

17.Mu'jam As-Saghir (at-Thabarani) (360 H)

18.Sunan ad-Daruquthni (385 H)

19.Mustadrak Al-Hakim (405 H)

20.Sunan al-Kubra ( al-Baihaqi) (458 H)

"Ya Allah, Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amal yang diterima." (H/R Ibnu Majah)

Berkata Al-Hafiz Az-Dzahabi : "Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat? Ia apa yg dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah s.a.w. secara perkataan dan perbuatan." [ruj : Siyar 'Alam al-Nubala' li Az-Dzahabi]

Sunday, February 27, 2011

Utamakan Yang Utama !

Telah bercerita Dr 'Aidh al-Qarni kepada kita dalam bukunya yang terkenal La Tahzan. Katanya :

"Saya ingat ada beberapa mahasiswa bertanya tentang buku-buku langka[yang sudah sangat sukar diperolehi ], manuskrip-manuskrip lama, dan karangan-karangan unik. Mereka pun rajin mengumpulkan buku-buku seperti itu. Namun buku-buku itu jarang dibaca dan pengetahuannya tentang buku-buku itu juga sangat sedikit. Keinginan mereka hanyalah memperbanyak koleksi bukunya dan agar orang yang datang ke rumah mereka terkagum-kagum melihat koleksi buku mereka.

Ada buku-buku 'Anqa Mughrib dan al-Kibrit al-Ahmar. Mereka bersedih kerana gagal mendapatkan koleksi Tafsir Muqatil bin Sulaiman padahal mereka sendiri belum pernah khatam membaca Tafsir Ibnu Kathir!

Mereka juga merasa kurang puas kerana tidak mendapatkan buku Fawaid - Tammam namun pada saat yang sama yang mereka tahu tentang Fath al-Bari hanyalah nama penulisnya dan warna kulit kitabnya saja! "

[ ruj : La Tahzan li Dr 'Aidh al-Qarni]

Dan kita?


Sepatutnya disamping berusaha membaca Kitabullah setiap hari, kita juga dalam masa yang sama perlulah berusaha untuk memahami Kitabullah yang kita baca. Caranya? Khusus yang tidak atau belum memahami @ mendalami bahasa Arab, maka bolehlah dimulakan tadabbur Kitabullah dengan dibantu misalnya dengan membaca sama edisi Al-Qur'an terjemahannya yang juga dicetak di Mujamma' al-Malik Fahd, pusat percetakan Al-Qur'an terbesar dunia yang letaknya di Madinah al-Munawwarah. Al-Qur'an yang ada terjemahan ini turut diletakkan di Masjid al-Haram dan Masjid an-Nabawi untuk bacaan dan tadabbur masyarakat Muslim dari kalangan ajam(bukan Arab) khususnya masyarakat Melayu Nusantara.




Kita beriman kepada Kitabullah, mengakuinya sebagai pedoman dan panduan dalam kehidupan. Tetapi berapa kali-kah kita telah khatam dengan memahami isi kandungannya? Aduhai alangkah lalai dan tertipunya kita dengan kesibukan dunia...Padahal kita semua mengetahui secara pasti bahawa kita semua pasti mati.

Tuesday, February 22, 2011

Nasihat Al-Albani Kepada Penuntut Ilmu Agama


Beliau berkata : "Aku nasihati setiap orang yang baru mengawali menuntut ilmu syar'i agar membaca kitab Feqh Sunnah karya Sayyid Sabiq dalam bidang feqh, dibantu dengan membaca sebahagian rujukan feqh lainnya seperti kitab Subulus Salam. Jika disertai dengan mempelajari kitab Tamaamul Minnah tentunya akan lebih mengukuhkannya. Demikian pula aku menganjurkan untuk membaca kitab Ar Raudhah an-Nadiyyah (karya Shiddiq Hasan Khan(rhm)).


Dalam bidang tafsir hendaklah ia biasakan membaca kitab Tafsir al-Qur'an al-Azhim karya Al-Hafiz Ibnu Kathir, meskipun pada bahagian-bahagian tertentu terdapat perbahasan yang panjang, namun kitab ini adalah kitab tafsir yang paling sahih di zaman ini.


Adapun yang berkaitan dengan peringatan-peringatan dan usaha untuk melunakkan hati, hendaklah ia membaca kitab Riyaadhus Salihin karya Imam an-Nawawi. Sedang dalam bidang 'aqidah hendaklah ia membaca kitab Syarh 'Aqidah at-Thahawiyah karya Ibnu Abil 'Izz al-Hanafi yang dibantu dengan komentar atau catatan kaki serta keterangan-keteranganku atas kitab tersebut.


Kemudian hendaklah ia membiasakan diri mempelajari karya-karya Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan muridnya Ibnul Qayyim al-Jauziyyah secara umum. Kerana aku yakin bahawa mereka berdua termasuk ulama kaum Muslimin yang langka yang telah menempuh manhaj Salaf al-Salih disertai ketaqwaan dan kesalihan dan kami tidak mensucikan seseorang terhadap Allah Azza wa Jalla."


[Rujuk : Muhaddithul 'Ashri hlm 73 - dinukil dari Biografi Syaikh Al Albani - Mujaddid dan Ahli Hadits Abad Ini, pustaka Imam Syafi'i hlm 191. Juga di dalam buku Menuntut Ilmu Jalan Menuju Syurga - Ustaz Yazid Abdul Qadir Jawas, hlm 304]

Friday, February 18, 2011

10 Kitab Tafsir Pilihan


Berkata Al-Imam As-Suyuthi(rhm) dalam kitabnya yang agung Al-Itqan fi 'Ulum al-Qur'an :

"Segala puji hanyalah milik Allah swt semata, Dialah yang menurunkan Kitab Al-Qur'an kepada hamba-Nya sebagai petunjuk bagi orang-orang yang berakal, dalam kitab ini terkumpul segala bentuk ilmu pengetahuan. Dia menjadikan kitab ini sebagai kitab termulia dari segala kitab yang ada. Kitab itu adalah Al-Qur'an yang berbahasa 'Arab, yang tiada kebengkokan padanya, yang bukan makhluk tapi kalam Allah swt, yang tiada keraguan dan ketidakbenaran padanya"[ruj : Muqaddimah Al-Itqan fi 'Ulum al-Qur'an]

Ini adalah 10 kitab Tafsir pilihan, dipilih oleh para ulama dan dipuji di lembaran-lembaran emas kitab-kitab mereka. Sebutan dan pujian ini terselerak di pelbagai celahan kitab secara terpisah di sana sini. Pun begitu selain 10 kitab tafsir ini, bukanlah termasuk kitab-kitab yang tidak dipuji, hanyasaja yang mencuri perhatianku dan lebih terasa sejahtera dengannya adalah 10 kitab ini. Senarai ini adalah disusun mengikut tertib tahun wafat penulisnya.

1. Tafsir at-Thabari (w. 310 H)
2. Tafsir al-Baghawi (w.516 H)
3. Tafsir al-Zamakhsyari (w. 538 H) - dari aspek Balaghah
4. Tafsir Al-Qurthubi (w. 671 H)
5. Tafsir Ibnu Kathir (w. 774 H)
6. Tafsir Al-Durr al-Manthur li As-Suyuthi (w. 911 H)
7. Tafsir Fathul Qadir li Asy-Syaukani (w. 1250 H)
8. Tafsir As-Sa'di li Syeikh Abdurrahman As-Sa'di (w. 1376 H)
9. Tafsir Adhwa' al-Bayan li Asy-Syinqithi (w. 1393 H)
10.Tafsir Al-Aisar li Al-Jazairi (hafizahullah)


Wallahua'lam.

Monday, February 14, 2011

Kenapa disebut Syurga 'Adn?

Allah SWT telah menjelaskan kepada kita bahawa sebaik-baik makhluk adalah orang-orang yang beriman dan melakukan amal shalih. Untuk mereka, kelak Allah SWT kurniakan Syurga 'Adn. Firman Allah SWT :
 
"Balasan mereka di sisi Rabb mereka ialah Jannah 'Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pun redha kepada-Nya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Rabb-nya." (Al-Bayyinah : 8)

Apakah sebenarnya makna Syurga / Jannah 'Adn ?

 Kata Syeikh Ibnu 'Utsaimin(rhm) : "Firman-Nya "Jannatu 'Adnin", Al-'Adn ertinya menetap di satu tempat, tidak berpindah-pindah. Di antara kesempurnaan nikmat penduduk Jannah adalah setiap mereka tidak akan diminta untuk berpindah dari kenikmatan yang telah mereka dapati. Kerana masing-masing mereka tidak melihat bahawa ada yang lain melebihi kenikmatan yang telah mereka peroleh. Tidak merasa rendah diri terhadap mereka yang lebih tinggi dan lebih sempurna kenikmatannya. Allah SWT berfirman : "Mereka tidak ingin berpindah daripadanya" (Al-Kahfi : 108). Yaitu, tidak ingin berpindah dari nikmat yang telah mereka peroleh. Kerana Allah SWT telah meyakinkannya bahawa tidak ada seorang pun yang lebih sempurna dari apa yang telah Allah berikan kepadanya. Itulah sebabnya Allah memberikan nama bagi jannah-jannah ini dengan 'Adn."

[ruj : Tafsir Juz Amma li Syeikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin]


Wednesday, February 9, 2011

Daftar Kitab Dalam Perpustakaanmu.

Berkata Syeikh Bakr Abu Zaid dalam kitabnya Hilyah Thalibil 'Ilm :

..……Di antara kitab-kitab itu yang terbaik adalah kitab Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah (rhm) dan murid beliau Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah (rhm).



Juga kitab sebelum dan sesudah masa mereka berdua iaitu kitab-kitab karya :

1. Al-Hafiz Ibnu 'Abdil Bar (rhm) (w. 463 H), dan kitab beliau yang paling baik adalah at-Tamhid

2. Al-Hafiz Ibnu Qudamah (rhm) (w. 620 H), dan kitab beliau yang paling bagus adalah al-Mughni

3. Al-Imam an-Nawawi (rhm) (w. 676 H)

4. Al-Hafiz Az-Dzahabi (rhm) (w. 748 H)

5. Al-Hafiz Ibnu Kathir (rhm) ( w. 774 H)

6. Al-Hafiz Ibnu Rajab (rhm) ( w. 795 H)

7. Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-'Asqalani (w. 852 H)

8. Al-Imam As-Shan'ani (rhm)(w. 1182 H)

9. Al-Imam Muhammad 'Abdul Wahhab (rhm) (w. 1206 H)

10. Al-Hafiz Asy-Syaukani (rhm) (w. 1250 H)

11. Kitab-kitab imam-imam dakwah terutama kitab ad-Durar as-Saniyyah fi al-Ajwibah an-Najdiyyah

12. Al-'Allamah Shiddiq Hasan Khan (rhm) (w. 1307 H)

13. Al-'Allamah  Asy-Syanqithi (rhm) ( w. 1393 H) terutama kitab beliau Adhwaa-ul Bayan.

Berkata Al-'Allamah Syeikh Muhammad Salih Al-'Utsaimin(rhm) :

"Termasuk sesuatu yang penting juga adalah seseorang itu hendaklah memilih koleksi kitab perpustakaannya dengan kitab-kitab literature tua(kitab turath) yang ditulis oleh para ulama Salaf......" [ruj : Syarh Hilyah Thalibil 'Ilm / Edisi terjemahan atas judul – Syarh Adab & Manfaat Menuntut Ilmu]


Catatan : Termasuk di dalamnya juga adalah kitab-kitab yang dikarang oleh Muhaddithin(para ahli hadith) sepanjang zaman kerana dua sebab :

Pertama – Perkataan Al-Imam Asy-Syafi'i(rhm)

 

Al-Buwaiti menceritakan bahawa : "Aku pernah mendengar Al-Syafi'i berkata : "Hendaklah kalian berdampingan dengan tokoh-tokoh hadith kerana sesungguhnya mereka adalah orang yang paling banyak kebenaran". Al-Syafi'i juga telah berkata :"Sekiranya aku terpandang seorang lelaki di kalangan tokoh-tokoh hadith, maka seolah-olah aku telah terpandang seorang lelaki daripada sahabat-sahabat Rasulullah SAW. Allah SWT membalas mereka dengan kebaikan. Merekalah yang telah menjaga Al-Qur'an"[ruj : Al-Bidayah wa al-Nihayah li Al-Imam Ibnu Kathir (rhm) ]

Kedua – Perkataan Al-Imam Al-Luknawi(rhm)

Berkata Abu Al-Hasanat Luknawi di dlm kitabnya Imam Al-Kalam (hlm.156) :

"Barangsiapa yang mahu berfikir dengan penuh kesabaran dan menyelami lautan fiqh dan ushul dengan meninggalkan sikap fanatiknya, nescaya dia akan mengetahui dengan seyakin-yakinnya bahawa sebahagian besar persoalan furu' dan ushul yang diperselisihkan para ulama, dalilnya ternyata lebih kuat madzhab Ahli Hadith daripada madzhab lainnya. Setiap kali aku menelusuri sisi perbezaan pendapat, aku menemukan pendapat ahli hadith lebih dekat kepada kebenaran. Semoga Allah memberikan tempat bagi mereka dan memberi balasan kepada mereka. Bagaimana tidak begitu, sebab merekalah yang menjadi pewaris Nabi yang sebenar-benarnya dan pendukung syari'atnya secara jujur. Semoga Allah memasukkan kami ke dalam golongan mereka dan menetapkan kami untuk mencintai mereka dan mengikuti jejak mereka."..[dinukil dari Shifat Shalaat an-Nabi SAW min at-Takbiir ila At-Tasliim ka-annaka Taraaha karya al-Muhaddith Muhammad Nasiruddin Al-Albani.(rhm)]


Wallahua'lam.

Monday, February 7, 2011

Hakikat Umur

Apakah apabila bertambahnya masa, berlalunya hari demi hari maka usia kita bertambah? Mungkin pada hitungan kita ianya bertambah, tetapi pada hakikat yang sebenar, bagi orang-orang yang sedar ia terus berkurang.


Kata Hasan al-Bashri : "Wahai anak cucu Adam, siangmu adalah tamumu. Perlakukan ia dengan baik. Bila kamu memberlakukannya dengan baik, ia akan berlalu sambil memujimu. Dan bila kamu memberlakukannya dengan buruk, ia akan pergi sambil mencelamu. Demikian pula malammu."

"Wahai anak cucu Adam, injaklah tanah dengan kakimu kerana sebentar lagi ia akan menjadi kuburanmu. Usiamu senantiasa diintai maut, sejak kamu keluar dari rahim ibumu"

"Wahai anak cucu Adam, kamu ibarat hari. Setiap satu hari berlalu, hilang pula sebahagian darimu"

[Hilyah al-Awliya' dengan perantaraan The Wisdom of Hasan Al-Bashri - Nashat-nasihat Penerang Hati]

Sunday, February 6, 2011

Akhir Dari Kesedihan..


 Kita kembali lagi ke pintunya Al-Imam Ibnu Jauzi al-Baghdadi untuk mendengar ceritanya..

"Aku pernah menghadapi suatu persoalan yang membuat aku selalu dirundung kesedihan. Aku telah berusaha sekuat tenaga untuk dapat keluar dari rasa duka itu dengan segala macam cara. Akan tetapi, aku selalu gagal dan terbentur jalan buntu. Tiba-tiba terlintas ayat ini di benakku : "Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Dia pasti memberikan jalan keluar " (at-Thalaq : 2)

Tahulah aku bahawa taqwa adalah jalan keluar yang terbaik dari segala kegelisahan dan kegoncangan jiwa. Akhirnya setiap kali aku bersedih, aku mencari jalan keluar lewat jalur ini. Sangatlah tidak wajar jika manusia tidak bertawakkal, tidak mencari sebab segala sesuatu, tidak berfikir untuk taat kepada Allah dan mengikuti semua yang diperintahkan-Nya. Semua itu merupakan kunci-kunci pembuka bagi semua hal yang tertutup.

Yang lebih ajaib lagi ialah bahawa Allah - Pemberi rezeki sering memberikan rezeki itu tanpa disangka-sangka oleh seseorang. "Dia memberikan rezeki dengan cara yang sama sekali tidak terduga "(at-Thalaq : 3). Wajib bagi orang yang bertaqwa untuk tahu bahawa Allah akan senantiasa mencukupinya. Oleh kerana itu, janganlah hatinya tergantung pada apa yang telah ia usahakan. Hendaknya ia menambatkan hatinya pada Allah setelah berusaha, sebagaimana firman Allah SWT dalam lanjutan ayat tadi : "Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya"(at-Thalaq : 3)"

[ruj : Shaid al-Khatir li Ibnu Jauzi al-Baghdadi]

Wednesday, February 2, 2011

Dunia Adalah Kampung Yang Hancur...


Apakah maksud ‘dunia’ ?

 Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al Asqalani(rhm) dalam magnum opus-nya Fathul Baari, kata ini(dun-yaa) memiliki bentuk wazan fu’laa dan berasal dari kata “ad dunuu” yang ertinya dekat. Disebut dunia kerana ia lebih dahulu sebelum akhirat. Ada yang mengatakan, disebut dunia kerana lebih dekat kepada kebinasaan.

Firman Allah SWT : “Dan Aku tidaklah menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka menyembahKu….”[Az-Dzariyat : 56]

Kata Al-Imam an-Nawawi(rhm) selepas mengemukakan ayat di atas : Ini adalah peringatan bahawa mereka diciptakan hanya untuk mengabdi kepada-Nya. Maka sudah semestinya mereka memperhatikan tujuan mereka diciptakan kerananya, dan berpaling dari isi dunia dengan sikap zuhudnya. Dunia adalah kampung yang hancur bukan tempat yang abadi, dia adalah jambatan untuk melintas bukan tempat persinggahan yang sejati. Dia adalah jalan penghubung bukan tempat tinggal yang hakiki. Oleh kerana itu orang-orang yang sedar dari para penghuninya adalah para hamba yang ahli ibadah, dan orang-orang yang paling berakal di dalamnya adalah para zahid (yang mengutamakan akhirat atas dunia)

Allah SWT berfirman : “Sesungguhnya perumpamaan kehidupan dunia itu adalah seperti air(hujan) yang Kami turunkan dari langit, lalu tumbuhlah dengan suburnya kerana air itu tanam-tanaman bumi, di antaranya ada yang dimakan manusia dan binatang ternak. Hingga apabila bumi itu telah sempurna keindahannya, dan memakai (pula) perhiasannya dan pemilik-pemiliknya mengira mereka pasti menguasainya, tiba-tiba datanglah kepadanya azab Kami di waktu malam atau siang, lalu Kami jadikan (tanaman-tanamannya) laksana tanaman-tanaman yang sudah disabit, seakan akan belum pernah tumbuh kemarin. Demikianlah Kami menjelaskan tanda-tanda kekuasaan (Kami) kepada orang-orang yang berfikir”[Yunus : 24]

[ruj : Muqaddimah Riyadhus Shalihin ]



 Demikian juga Syeikh Ibnu 'Utsaimin(rhm) pernah mengatakan :

Sekiranya manusia melakukan muhasabah diri mengapa dia diciptakan, tentu dia akan mengetahui bahawa dia diciptakan semata-mata untuk beribadah kepada Allah SWT, di samping dia diciptakan untuk kehidupan akhirat bukan untuk kehidupan di perkampungan dunia ini, kerana kampung ini hanya sekadar jambatan yang dilewati manusia untuk menuju kampung lain, yakni sebuah kampung yang untuk penghidupan itulah dia diciptakan dan kerana itulah amal diusahakan.

Aduhai sekiranya saja pada hari tertentu seorang manusia berfikir, apakah yang telah aku lakukan? Berapakah lagi sisa umurku di dunia ini? Apa yang telah aku usahakan? Hari demi hari terus berlalu sementara aku tidak tahu apakah aku semakin dekat dengan Allah atau justeru semakin jauh dari-Nya?

Apakah kita sudah menghisab diri sendiri tentang masalah ini? Setiap manusia yang berakal tentu mempunyai tujuan. Lalu apakah tujuannya? Saat ini kita sedang mencari ilmu untuk mendekatkan diri kepada Allah, berusaha meningkatkan diri dan juga membantu orang lain. Apakah setiap kali kita mengetahui dan memahami suatu permasalahan ilmu kita sudah mengamalkannya? Dalam setiap keadaan kita mendapatkan diri kita dalam kelalaian dan kealpaan. Apakah setiap kali kita mengetahui suatu masalah dari hal ilmu kita menyeru hamba-hamba Allah kepadanya? Ini semua memerlukan muhasabah. Setiap orang yang mencari ilmu mempunyai tanggungjawab yang penting. Dia mempunyai kewajipan yang lebih banyak dari zakat harta. Dia harus bertindak dan berusaha menyebarkan ilmu serta membangkitkan kesedaran di tengah umat Islam. Jika tidak, bererti dia telah menyimpang dari syariat Allah."

[ruj : Ibnu 'Utsaimin – Syarh Kitab at-Tauhid @ Al-Qaul al-Mufid 'ala Kitab at-Tauhid]


 Bisyr al-Hafi (rhm) pernah berkata  ketika ingin memasuki kawasan perkuburan :

"Orang-orang yang meninggal di luar pagar lebih banyak daripada yang sudah meninggal di dalam pagar"


Apakah kita termasuk yang telah meninggal di luar pagar itu?

JADUAL BACA BUKU ?

Bagaimana anda mengatur dan menyusun waktu untuk membaca dan menela'ah? Apakah dibuat satu jadual yang khusus atau baca ikut mood saja? Bagaimana pula dengan pemilihan masanya, waktu siang atau malam hari?

Sebelumnya, atau sebelum ada apa-apa jadual bacaan buku, saya berpandangan kita semua mestilah menjadualkan diri untuk melazimi Kitabullah setiap hari. MESTI menetapkan satu masa yang khusus setiap hari untuk membaca Kitabullah.

Kemudian bolehlah dibuat satu jadual harian untuk tujuan bacaan dan tela'ah. Saya suka membahagikan bahan bacaan kepada 4 peringkat :

1) Bacaan Utama - biasanya terdiri dari buku-buku besar yang berjilid-jilid.[ cth : Tafsir Ibnu Kathir]

2) Bacaan Penting - biasanya terdiri dari buku-buku yang penting.[ cth : Jami' al-'Ulum wa al-Hikam]

3) Bacaan Perlu - biasanya terdiri dari buku-buku bersaiz sederhana atau kecil[ cth : Al-'Ubudiyah]

4) Bacaan Tambahan - lain-lain bacaan di atas. [ cth : Biografi Syaikh Al Albani]

Bahan bacaan 1) dan 2) sesuai dilazimi pembacaan di bilik bacaan secara berjadual dan berkala. Bacaan khususnya pada waktu malam, sangat baik jika pada waktu sahur @ dinihari.


Bahan bacaan 3) - boleh dibawa bukunya ke mana-mana. Boleh dibaca di dalam LRT, ketika menunggu waktu solat di masjid, ketika menunggu bas dll.

Bahan bacaan 4) - juga boleh dibawa ke mana-mana, bacaannya lebih bersifat santai, tidak memerlukan fokus yang tinggi.

Ini hanyalah cadangan saya, cadangan anda bagaimana?

Friday, January 28, 2011

Dunia Ini Ibarat Penjara Bagi Mukmin...

Inilah sebuah kisah yang sangat menarik yang dikisahkan oleh Al-'Allamah Syeikh Muhammad Shalih Al-'Utsaimin(rhm) dalam kitabnya Tafsir Juz 'Amma.

  
Kata Ibnu 'Utsaimin(rhm) :


"Para ulama menukil dari Ibnu Hajar Al-'Asqalani yang menulis syarh kitab Sahih Al-Bukhari yang diberinya nama Fathul Baari, dan pernah menjawat kedudukan sebagai Qadhi al-Qudhat(hakim tertinggi) di Mesir, bahawa pada suatu hari beliau(Ibnu Hajar) berjalan dengan gerobak yang ditarik oleh seekor keledai sementara orang-orang berkerumun mengelilinginya. Saat itu beliau melewati seorang Yahudi penjual minyak samin dan zaitun, dan biasanya penjual minyak samin pakaiannya selalu kotor dan keadaannya teruk. Tiba-tiba si Yahudi tersebut memberhentikan gerobak milik Ibnu Hajar dan berkata : "Sesungguhnya Nabi kalian bersabda : "Dunia ini ibarat penjara bagi orang mukmin dan Jannah bagi orang kafir" (H/R Muslim)


Lalu bagaimana dengan keadaanku yang sangat teruk ini sementara keadaanmu begitu baik?"



Maka Ibnu Hajar menjawab perkataannya : "Aku memang berada dalam penjara yang sempit bila dibandingkan dengan apa-apa yang telah Allah siapkan berupa pahala dan kenikmatan bagi para hamba-Nya yang beriman, di alam kehidupan akhirat kelak. Sebab dunia ini tidak ada apa-apanya jika dibandingkan dengan akhirat, sebagaimana sabda Rasulullah SAW : "Tempat cemeti seseorang di Jannah nanti lebih baik dibandingkan dunia seisinya"

Dan engkau wahai Yahudi! Engkau seolah berada di dalam Jannah jika dibandingkan dengan azab yang kelak akan engkau terima apabila engkau mati dalam keadaan kafir!"

 

Akhirnya orang Yahudi itu merasa puas dengan jawaban Ibnu Hajar dan menjadi penyebab ia masuk Islam, dan akhirnya Yahudi itu berkata : "Aku bersaksi tiada Rabb yang haq yang disembah selain Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah".

Alhamdulillah. Dengan nikmat dan kurniaan-Nya segala kebaikan itu menjadi sempurna..
[Rujuk : Tafsir Juz 'Amma li Ibnu 'Utsaimin(rhm) – Tafsir Surah Al-Lail]

Wednesday, January 26, 2011

"Zarah" : Antara Pengertian Dalam Al-Qur'an dan Lembaran Dari Buku Sains

Ketika membaca Kitabullah kita seringkali berjumpa dengan kalimah "dzarrah". Persoalannya apakah ia bermakna 'zarah' yang disebut di dalam buku-buku Sains ketika membahaskan teori atom?


 Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar al Asqalani (rhm) : "Dzarrah adalah suatu partikel terkecil dari benda yang ada, Ada yang mengatakan dzarrah ertinya debu yang tampak pada cahaya matahari, yang terlihat seperti hujung-hujung jarum. Ada pula yang mengatakan dzarrah ertinya semut kecil.

Diriwayatkan dari 'Abdullah bin 'Abbas radiyallahu 'anhuma, bahawa ia berkata : "Jika engkau meletakkan tangan ke tanah kemudian engkau menghembuskannya, maka debu yang bertebaran itulah yang disebut dzarrah".

Ada pula yang mengatakan : "Empat dzarrah setara dengan satu khardal(biji sawi)"

Di akhir Kitab "at-Tauhid", Imam al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadith dari Anas secara marfu' dengan lafaz : "Akan dimasukkan ke dalam Syurga orang yang di dalam hatinya terdapat keimanan sebesar khardal(biji sawi). Kemudian juga orang yang di dalam  hatinya terdapat keimanan yang lebih kecil daripada itu."

Demikian penjelasan tentang makna dzarrah."
[Ruj : Fathul Baari - Bab 33 : Bertambah dan Berkurangnya Iman]

Firman Allah SWT : "Barangsiapa mengerjakan kebaikan sebesar dzarrah pun, nescaya  dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar dzarrah pun nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula" [Surah az-Zalzalah : 7-8]

Kata Syeikh Ibnu 'Utsaimin (rhm) : "Dan yang dimaksudkan dengan dzarrah adalah seekor semut kecil yang sudah dimaklumi. Jadi dzarrah itu bukanlah atom sebagaimana yang dikatakan orang-orang sekarang, kerana pada saat itu atom belum dikenal. Allah Azza wa Jalla tidak berfirman pada satu kaum kecuali dengan bahasa yang mereka fahami. Dan penyebutan dzarrah di sini [surah az-Zalzalah : 7-8] adalah sebagai ungkapan bagi sesuatu yang paling kecil. Sebagaimana firman Allah Azza wa Jalla : "Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar dzarrah, dan jika ada kebajikan sebesar dzarrah nescaya Allah akan melipatgandanya."[ Surah an-Nisaa' : 40]

[ruj : Tafsir Juz 'Amma - Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin]

Al-Imam Ibnu Katsir(rhm) dalam Tafsir-nya mengatakan dzarrah itu maknanya semut yang kecil manakala Dr Wahbah az-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir memilih makna dzarrah sebagai semut yang kecil atau debu yang hanya boleh dilihat di bawah sinaran matahari sebagaimana disebutkan dalam Fathul Baari.


Justeru, apakah jika sesuatu amalan itu lebih kecil dari semut yang kecil maka ia tidak dihitung? Bahkan, ia akan dihitung dan diperlihatkan balasan untuknya kelak. Penyebutan semut yang kecil adalah untuk menunjukkan sesuatu yang sangat kecil  sebagaimana yang dimaklumi pada zaman penurunan wahyu.

Kerana itulah Syeikh Ibnu Utsaimin mengatakan selepas menjelaskan makna dzarrah dalam surah az-Zalzalah di atas sebagai : "Dan tentunya sudah satu hal yang dimaklumi bahawa suatu amalan walaupun lebih kecil dari semut pasti akan terlihat(kelak). Oleh kerana itulah Allah memakai ungkapan dzarrah sebagai pengungkapan sesuatu yang terkecil"

Kesimpulannya : Dzarrah yang disebut di dalam Al-Qur'an bukanlah zarah yang dikenal di dalam lembaran buku-buku Sains.

Monday, January 24, 2011

Keutamaan Kitab Salaf...


Kata Al-Imam Ibnu Jauzi Al-Baghdadi(rhm) dalam kitabnya yang terkenal - Shaidul Khatir :

"Keinginan dan cita-cita ulama terdahulu(salaf) sangatlah tinggi dan kuat. Buktinya buku-buku mereka merupakan saripati dari kehidupan mereka…..

Jalan utama bagi orang yang menginginkan kesempurnaan dalam menuntut ilmu √°dalah membaca buku peninggalan orang-orang terdahulu(salaf) sebanyak-banyaknya. Saat membaca, ia akan mengenal banyak ilmu dan terbukalah cakrawala pemikirannya. Di samping itu ia mengetahui betapa tinggi semangat kaum terdahulu(salaf). Dengan demikian ia menjadi tergerak dan muncul semangatnya untuk melakukan sesuatu dengan serius. Perlu diketahui bahawa tidak ada satu kitab(salaf) pun yang tidak mengandungi faedah….."

Kata Al-Imam Ibnu Jauzi Al-Baghdadi(rhm) lagi :

"Aku berlindung dari cara hidup manusia zaman sekarang. Kita tidak melihat mereka memiliki keinginan kuat yang dapat dicontohi oleh orang yang baru belajar, tidak juga orang wara' yang dapat diteladani oleh orang zuhud. Oleh kerana itu, wajib bagi anda untuk melihat dengan saksama perjalanan ulama salaf, membaca karya-karya mereka dan riwayat hidup mereka. Dengan banyak membaca karya mereka sama ertinya dengan kita melihat mereka sebagaimana perkataan seorang penyair :

"Tak sempat kulihat negeri-negeri itu dengan mataku
Kuharap dapat melihat negeri-negeri itu dengan telingaku"


Aku akan bercerita tentang diriku. Aku tidak pernah kenyang membaca buku. Jika aku melihat satu buku yang belum pernah aku sentuh, aku seperti melihat satu harta karun yang tidak ternilai harganya. Aku pernah melihat buku-buku di Madrasah Nizhamiyyah. Di situ terdapat sekitar 6000 jilid buku. Aku juga melihat kumpulan buku Abu Hanifah dan Humaidi, kitab-kitab guruku Abdul Wahab bin Nashir, kitab-kitab Muhammad bin Khasyyab yang jumlahnya banyak sekali, dan berbagai kitab lainnya yang sangat ingin aku baca. Aku membaca 20,000 jilid buku atau lebih, tapi(sebenarnya) aku membaca lebih dari yang aku sebutkan. Aku mengambil pelajaran dari buku-buku itu tentang perjalanan hidup mereka, semangat mereka, hafalan mereka, ibadah mereka, dan ilmu-ilmu mereka yang luas,yang menurutku tidak mungkin diketahui kecuali oleh mereka yang telah membaca dengan saksama. Aku ingin mengikuti jejak mereka dan merasa resah dengan semangat penuntut ilmu yang ada saat ini.."..[ rujuk : Al-Imam Ibnu Jauzi Al-Baghdadi – Shaidul Khatir]

Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah :

"Sesiapa yang Allah SWT kurniakan cahaya kepada hatinya, Dia akan memberi hidayah melalui karangan-karangan yang sampai kepadanya. Dan sesiapa yang dibutakan mata hatinya, maka lambakan buku-buku hanyalah menambahkan kebingungan dan kesesatannya"
[Majmu' Fatawa 10/665]


"Ya Allah, Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amal yang diterima."(H/R Ibnu Majah)

Berkata Al-Hafiz Az-Dzahabi : "Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat? Ia apa yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah SAW secara perkataan dan perbuatan." [ruj : Siyar 'Alam al-Nubala' li Az-Dzahabi]

Saturday, January 22, 2011

Episod Menakjubkan A'immah Salaf [EMAS]- Siri 1

Perjalanan Satu Bulan Jabir bin Abdillah r.a Mencari Satu Hadith

Imam Abu Abdillah Al-Bukhari berkata di dalam Sahihnya , kitab Al-'Ilm, Bab Al-Khuruj fi Thalabil 'Ilm : "Jabir bin Abdillah melakukan perjalanan selama satu bulan untuk menemui Abdullah bin Unais demi mendapatkan satu hadith."

Berkata Al-'Allamah Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah : "Ucapan Al-Bukhari ini mengisyaratkan kepada hadith yang ia riwayatkan di dalam kitabnya Al-Adabul Mufrad, bab Al-Mu'anaqah dari jalan Abdullah bin Muhammad bin Aqil, bahawa ia mendengar Jabir bin Abdillah berkata : "Aku mendengar seorang lelaki sahabat Nabi SAW memiliki sebuah hadith. Lelaki tersebut mendengarnya dari Nabi SAW. Maka aku membeli seekor unta dan aku bersiap diri untuk melakukan perjalanan. Aku berangkat untuk menemuinya selama satu bulan, sehingga aku tiba di Syam –dan lelaki tersebut adalah Abdullah bin Unais. Maka aku berkata kepada penjaga pintunya : "Katakan kepadanya bahawa Jabir sedang berada di depan pintu. Dia bertanya : Ibnu Abdillah?. Aku menjawab : Ya

Lalu Abdullah bin Unais keluar dan dia memelukku. Aku berkata : Aku mendengar engkau memiliki sebuah hadith dan engkau telah mendengarnya dari Rasulullah SAW. Aku khawatir diriku nanti mati, atau engkau yang mati sebelum aku mendengarnya. Dia berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Allah mengumpulkan manusia pada hari kiamat dalam keadaan telanjang, belum dikhitan dan buhm. Para sahabat bertanya : Apa itu buhm? Baginda SAW menjawab : Tidak memiliki apa pun...."
[Kemudian Abdullah bin Unais menyambung dengan matan hadith seterusnya ]


Al-Hafiz Khatib Al-Baghdadi memaparkan kisah Jabir ini di dalam kitabnya Ar-Rihlah fi Thalabil Hadith dari banyak jalan. Dia juga meriwayatkan kisah lain dari para sahabat yang melakukan perjalanan demi mencari hadith. Kitab Ar-Rihlah itu sendiri merupakan kitab yang bermanfaat, dan menjadi pendorong bagi orang-orang yang bermalas-malasan melakukan perjalanan demi mencari ilmu. Bacalah, semoga anda tergugah!

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-'Asqalani berkata di dalam Fathul Bari – setelah menyebutkan hadith Jabir tersebut tentang perjalanan yang dilakukannya kepada Abdullah bin Unais. Beliau (Ibnu Hajar) berkata : Hadith ini menunjukkan kebiasaan para sahabat iaitu bersemangat mencari sunnah-sunnah Nabi

[Rujuk : Safahat min Sabr 'Ulama li Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah].

Sunday, January 16, 2011

Syarh 'Aqidah at-Thahawiyah - Ibnu Abi al-Izz al-Hanafi

Kata Al-Imam Ibnu Abi al-Izz al-Hanafi : "Kalam para Ulama Salaf dalam menetapkan sifat al-'uluw(tinggi) Allah sangatlah banyak. Maka darinya apa yang diriwayatkan oleh Syeikhul Islam Abu Isma'il Al-Anshari dalam bukunya Al-Faruq dengan jalur sanadnya sendiri kepada Al-Muthi' Al-Balkhi, bahawasanya beliau pernah bertanya kepada Abu Hanifah tentang orang yang mengatakan : "Aku tidak tahu apakah Rabb-ku di langit atau di bumi?". Beliau (Abu Hanifah) menyatakan : "Orang itu kafir". Kerana Allah berfirman : " Ar-Rahman yang bersemayam di atas 'Arsy" (Thaha : 5).

'Arsy Allah itu berada di atas tujuh langit. "Aku bertanya : "Bagaimana jika dia mengatakan bahawa Allah di atas 'Arsy, tetapi dia juga berkata : "Aku tidak tahu apakah 'Arsy itu berada di langit atau di bumi". Beliau (Abu Hanifah) menjawab : "Dia kafir kerana dia mengingkari bahawa Allah itu di langit. Orang yang mengingkari Allah itu di atas langit, bererti dia kafir". Ada perawi yang menambahkan bahawa beliau berkata : "Kerana Allah itu ada di atas "Illiyyin" dan Allah itulah yang dijadikan tujuan berdoa, dan Dia di atas dan bukan di bawah".

Kata Ibnu Abi al-Izz lagi : "Kita juga tidak perlu memperdulikan orang yang mengingkari hal itu, iaitu mereka yang menisbahkan diri kepada mazhab Abu Hanifah [padahal yang demikian itu bukanlah mazhab beliau], kerana sebahagian kelompok Mu'tazilah dan lain-lainnya menisbahkan diri kepada mazhab beliau, padahal 'aqidah mereka berseberangan dengan 'aqidah beliau rahimahullah Ta'ala dalam banyak persoalan i'tiqaadnya. Dan telah menisbahkan kepada Malik, Syafi'i dan Ahmad, orang-orang yang menyelisihi mereka dalam sebahagian i'tiqaad mereka."

[rujuk : Syarh 'Aqidah at-Thahawiyah edisi tahqiq Syeikh Syua'ib Al Arnau'th dan Dr. 'Abdullah bin 'Abdul Muhsin at-Turki, cet. Muassasah ar-Risalah, thn. 2008, hlm.279, bagi edisi yang ditahqiq Syeikh Al Albani, cet. Al-Maktab al-Islami, thn. 2006, rujuk hlm. 200 ]

Saturday, January 8, 2011

Mukhtashar al-'Uluw


Disebutkan Al-Hafizh az-Dzahabi di dalam kitabnya al-'Uluw : Diriwayatkan oleh Syaikh al-Islam Abu al-Hasan al-Hakari dan al-Hafizh Abu Muhammad al-Maqdisi melalui isnad mereka yang sampai kepada Abu Tsaur dan Abi Syu'aib, keduanya dari Al-Imam Muhammad bin Idris Asy Syafi'i seorang pembela hadith rahimahullah, ia berkata :

 "Pendapatku tentang sunnah di mana aku berpegang kepadanya, dan juga berpegang kepadanya orang-orang yang aku lihat semisal Sufyan, Malik dan selain keduanya, iaitu pengakuan terhadap persaksian bahawa tiada Ilah ( yang berhak diibadahi) selain Allah dan bahawa Muhammad itu Rasulullah, dan bahawa Allah itu di atas 'Arsy-Nya yang ada di langit-Nya. Dia mendekat kepada makhluk-Nya menurut apa yang Dia kehendaki dan turun ke langit dunia menurut apa yang Dia kehendaki."... Lalu disebutkan seluruh i'tiqad ('aqidah dan keyakinan lainnya)

[Ruj : Mukhtashar al-'Uluw, hlm. 176, Al-Maktab al-Islami, cetakan ke-2]

Di antara hadith-hadith yang menjelaskan ketinggian Allah SWT di atas makhluk-Nya ialah hadith yang diriwayatkan oleh Mu'awiyah bin al-Hakam as-Sulami r.a.

Kata Mu'awiyah bin al-Hakam as-Sulami r.a  :"Aku memiliki seorang budak wanita yang mengembalakan kambing-kambing milikku di sekitar kawasan Uhud dan Al-Jawwaaniyyah. Pada suatu hari aku melihat ada seekor serigala pergi dengan membawa salah seekor kambing gembalaannya. Sementara aku sendiri adalah seorang anak keturunan Adam yang sangat marah menyaksikan kejadian itu sebagaimana kebanyakkan orang lain yang juga akan marah ( sekiranya mengalami hal yang sama). Maka aku pun menempeleng budak wanita tersebut. Setelah itu aku datang kepada Rasulullah SAW(untuk memberitahukan kejadian tersebut). Ternyata Baginda menganggapku sudah melakukan sesuatu yang keterlaluan. Maka aku berkata : "Wahai Rasulullah, apakah aku memerdekakannya saja?" Rasulullah bersabda : "Bawalah dia menghadap ke hadapanku". Maka aku pun membawa budak wanita itu untuk menghadap Rasulullah. Lalu Baginda bertanya kepadanya :"Di manakah Allah?" Budak wanita itu berkata : "Di langit". Rasulullah kembali bertanya : "Siapakah aku?" Budak wanita itu menjawab : "Anda adalah Rasulullah". Rasulullah bersabda : "Merdekakanlah dia! Kerana sesungguhnya dia adalah orang yang beriman".

Setelah mengemukakan hadith ini, Al-Hafizh adz-Dzahabi berkomentar : "Hadith ini sahih dikeluarkan oleh Imam Muslim, Abu Dawud, an-Nasa'i serta tidak hanya satu orang dari kalangan imam yang memuatkannya di dalam karya-karya mereka. Semuanya memberlakukannya sebagaimana datangnya, tidak ada yang cuba-cuba melakukan ta'wil dan tahrif".

Kata adz-Dzahabi lagi : "Demikianlah kami melihat, bahawa setiap orang yang ditanya 'di mana Allah' secara spontan fitrahnya akan mengatakan : 'Di langit'.

Maka dalam khabar ini ada dua masalah :

Pertama : Disyari'atkan untuk bertanya kepada seorang Muslim : "Di mana Allah?"
Kedua : Jawaban yang ditanya : "Di langit".

Maka siapa yang memungkiri dua masalah ini, bererti ia memungkiri Mushtafa( Nabi SAW)" -  tamat perkataan adz-Dzahabi - [ruj: Mukhtashar al-'Uluw, hlm. 81]

Di dalam kitab Al-Asma' wa ash-Shifat, al-Imam al-Baihaqi berkata : "Penyebutan dalil-dalil yang menerangkan istiwa'nya Allah Tabaraka wa Ta'ala di atas 'Arsy-Nya, dan juga atsar-atsar yang berasal dari kalangan salaf yang memiliki pengertian seperti ini cukup banyak jumlahnya, dan jalan ini menunjukkan kepada mazhab Asy Syafi'i.

Antara atsar yang berasal dari kalangan salaf dalam masalah ini ialah apa yang diriwiyatkan dari Ibnu Mas'ud r.a, ia berkata :

"Arsy itu di atas air, dan Allah di atas 'Arsy, tidak tersembunyi suatu apapun atas-Nya dari perbuatan-perbuatanmu"

[Atsar ini diriwayatkan oleh Abdullah bin al-Imam Ahmad dalam As-Sunnah-nya, Abu Bakar bin Mundzir, Abu Ahmad Al Assal, Abul Qasim ath-Thabrani, Abu Syaikh, Abul Qasim Al-Lalaka'i, Abu Umar ath-Thalamanki, Abu Bakar Al Baihaqi dan Abu Umar bin Abdil Bar dalam karangan-karangan mereka. Kata adz-Dzahabi : "Dan isnadnya sahih", disepakati oleh Syeikh Al Albani dengan tambahan-tambahan rujukan dalam Mukhtashar al-'Uluw, hlm. 103-104]

Adapun atsar dari Tab'in antaranya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Shadqah dari Sulaiman at-Taimi.

Kata Shadqah : "Aku mendengar Sulaiman at-Taimi berkata : "Seandainya aku ditanya, di manakah Allah ? Aku pasti menjawab : "di langit".

Sulaiman termasuk Imam penduduk Basrah dalam ilmu pengetahuan dan pengamalan.
[ruj : Mukhtashar al-'Uluw, hlm. 133]