Sunday, February 27, 2011

Utamakan Yang Utama !

Telah bercerita Dr 'Aidh al-Qarni kepada kita dalam bukunya yang terkenal La Tahzan. Katanya :

"Saya ingat ada beberapa mahasiswa bertanya tentang buku-buku langka[yang sudah sangat sukar diperolehi ], manuskrip-manuskrip lama, dan karangan-karangan unik. Mereka pun rajin mengumpulkan buku-buku seperti itu. Namun buku-buku itu jarang dibaca dan pengetahuannya tentang buku-buku itu juga sangat sedikit. Keinginan mereka hanyalah memperbanyak koleksi bukunya dan agar orang yang datang ke rumah mereka terkagum-kagum melihat koleksi buku mereka.

Ada buku-buku 'Anqa Mughrib dan al-Kibrit al-Ahmar. Mereka bersedih kerana gagal mendapatkan koleksi Tafsir Muqatil bin Sulaiman padahal mereka sendiri belum pernah khatam membaca Tafsir Ibnu Kathir!

Mereka juga merasa kurang puas kerana tidak mendapatkan buku Fawaid - Tammam namun pada saat yang sama yang mereka tahu tentang Fath al-Bari hanyalah nama penulisnya dan warna kulit kitabnya saja! "

[ ruj : La Tahzan li Dr 'Aidh al-Qarni]

Dan kita?


Sepatutnya disamping berusaha membaca Kitabullah setiap hari, kita juga dalam masa yang sama perlulah berusaha untuk memahami Kitabullah yang kita baca. Caranya? Khusus yang tidak atau belum memahami @ mendalami bahasa Arab, maka bolehlah dimulakan tadabbur Kitabullah dengan dibantu misalnya dengan membaca sama edisi Al-Qur'an terjemahannya yang juga dicetak di Mujamma' al-Malik Fahd, pusat percetakan Al-Qur'an terbesar dunia yang letaknya di Madinah al-Munawwarah. Al-Qur'an yang ada terjemahan ini turut diletakkan di Masjid al-Haram dan Masjid an-Nabawi untuk bacaan dan tadabbur masyarakat Muslim dari kalangan ajam(bukan Arab) khususnya masyarakat Melayu Nusantara.




Kita beriman kepada Kitabullah, mengakuinya sebagai pedoman dan panduan dalam kehidupan. Tetapi berapa kali-kah kita telah khatam dengan memahami isi kandungannya? Aduhai alangkah lalai dan tertipunya kita dengan kesibukan dunia...Padahal kita semua mengetahui secara pasti bahawa kita semua pasti mati.

Tuesday, February 22, 2011

Nasihat Al-Albani Kepada Penuntut Ilmu Agama


Beliau berkata : "Aku nasihati setiap orang yang baru mengawali menuntut ilmu syar'i agar membaca kitab Feqh Sunnah karya Sayyid Sabiq dalam bidang feqh, dibantu dengan membaca sebahagian rujukan feqh lainnya seperti kitab Subulus Salam. Jika disertai dengan mempelajari kitab Tamaamul Minnah tentunya akan lebih mengukuhkannya. Demikian pula aku menganjurkan untuk membaca kitab Ar Raudhah an-Nadiyyah (karya Shiddiq Hasan Khan(rhm)).


Dalam bidang tafsir hendaklah ia biasakan membaca kitab Tafsir al-Qur'an al-Azhim karya Al-Hafiz Ibnu Kathir, meskipun pada bahagian-bahagian tertentu terdapat perbahasan yang panjang, namun kitab ini adalah kitab tafsir yang paling sahih di zaman ini.


Adapun yang berkaitan dengan peringatan-peringatan dan usaha untuk melunakkan hati, hendaklah ia membaca kitab Riyaadhus Salihin karya Imam an-Nawawi. Sedang dalam bidang 'aqidah hendaklah ia membaca kitab Syarh 'Aqidah at-Thahawiyah karya Ibnu Abil 'Izz al-Hanafi yang dibantu dengan komentar atau catatan kaki serta keterangan-keteranganku atas kitab tersebut.


Kemudian hendaklah ia membiasakan diri mempelajari karya-karya Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan muridnya Ibnul Qayyim al-Jauziyyah secara umum. Kerana aku yakin bahawa mereka berdua termasuk ulama kaum Muslimin yang langka yang telah menempuh manhaj Salaf al-Salih disertai ketaqwaan dan kesalihan dan kami tidak mensucikan seseorang terhadap Allah Azza wa Jalla."


[Rujuk : Muhaddithul 'Ashri hlm 73 - dinukil dari Biografi Syaikh Al Albani - Mujaddid dan Ahli Hadits Abad Ini, pustaka Imam Syafi'i hlm 191. Juga di dalam buku Menuntut Ilmu Jalan Menuju Syurga - Ustaz Yazid Abdul Qadir Jawas, hlm 304]

Friday, February 18, 2011

10 Kitab Tafsir Pilihan


Berkata Al-Imam As-Suyuthi(rhm) dalam kitabnya yang agung Al-Itqan fi 'Ulum al-Qur'an :

"Segala puji hanyalah milik Allah swt semata, Dialah yang menurunkan Kitab Al-Qur'an kepada hamba-Nya sebagai petunjuk bagi orang-orang yang berakal, dalam kitab ini terkumpul segala bentuk ilmu pengetahuan. Dia menjadikan kitab ini sebagai kitab termulia dari segala kitab yang ada. Kitab itu adalah Al-Qur'an yang berbahasa 'Arab, yang tiada kebengkokan padanya, yang bukan makhluk tapi kalam Allah swt, yang tiada keraguan dan ketidakbenaran padanya"[ruj : Muqaddimah Al-Itqan fi 'Ulum al-Qur'an]

Ini adalah 10 kitab Tafsir pilihan, dipilih oleh para ulama dan dipuji di lembaran-lembaran emas kitab-kitab mereka. Sebutan dan pujian ini terselerak di pelbagai celahan kitab secara terpisah di sana sini. Pun begitu selain 10 kitab tafsir ini, bukanlah termasuk kitab-kitab yang tidak dipuji, hanyasaja yang mencuri perhatianku dan lebih terasa sejahtera dengannya adalah 10 kitab ini. Senarai ini adalah disusun mengikut tertib tahun wafat penulisnya.

1. Tafsir at-Thabari (w. 310 H)
2. Tafsir al-Baghawi (w.516 H)
3. Tafsir al-Zamakhsyari (w. 538 H) - dari aspek Balaghah
4. Tafsir Al-Qurthubi (w. 671 H)
5. Tafsir Ibnu Kathir (w. 774 H)
6. Tafsir Al-Durr al-Manthur li As-Suyuthi (w. 911 H)
7. Tafsir Fathul Qadir li Asy-Syaukani (w. 1250 H)
8. Tafsir As-Sa'di li Syeikh Abdurrahman As-Sa'di (w. 1376 H)
9. Tafsir Adhwa' al-Bayan li Asy-Syinqithi (w. 1393 H)
10.Tafsir Al-Aisar li Al-Jazairi (hafizahullah)


Wallahua'lam.

Monday, February 14, 2011

Kenapa disebut Syurga 'Adn?

Allah SWT telah menjelaskan kepada kita bahawa sebaik-baik makhluk adalah orang-orang yang beriman dan melakukan amal shalih. Untuk mereka, kelak Allah SWT kurniakan Syurga 'Adn. Firman Allah SWT :
 
"Balasan mereka di sisi Rabb mereka ialah Jannah 'Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pun redha kepada-Nya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Rabb-nya." (Al-Bayyinah : 8)

Apakah sebenarnya makna Syurga / Jannah 'Adn ?

 Kata Syeikh Ibnu 'Utsaimin(rhm) : "Firman-Nya "Jannatu 'Adnin", Al-'Adn ertinya menetap di satu tempat, tidak berpindah-pindah. Di antara kesempurnaan nikmat penduduk Jannah adalah setiap mereka tidak akan diminta untuk berpindah dari kenikmatan yang telah mereka dapati. Kerana masing-masing mereka tidak melihat bahawa ada yang lain melebihi kenikmatan yang telah mereka peroleh. Tidak merasa rendah diri terhadap mereka yang lebih tinggi dan lebih sempurna kenikmatannya. Allah SWT berfirman : "Mereka tidak ingin berpindah daripadanya" (Al-Kahfi : 108). Yaitu, tidak ingin berpindah dari nikmat yang telah mereka peroleh. Kerana Allah SWT telah meyakinkannya bahawa tidak ada seorang pun yang lebih sempurna dari apa yang telah Allah berikan kepadanya. Itulah sebabnya Allah memberikan nama bagi jannah-jannah ini dengan 'Adn."

[ruj : Tafsir Juz Amma li Syeikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin]


Wednesday, February 9, 2011

Daftar Kitab Dalam Perpustakaanmu.

Berkata Syeikh Bakr Abu Zaid dalam kitabnya Hilyah Thalibil 'Ilm :

..……Di antara kitab-kitab itu yang terbaik adalah kitab Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah (rhm) dan murid beliau Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah (rhm).



Juga kitab sebelum dan sesudah masa mereka berdua iaitu kitab-kitab karya :

1. Al-Hafiz Ibnu 'Abdil Bar (rhm) (w. 463 H), dan kitab beliau yang paling baik adalah at-Tamhid

2. Al-Hafiz Ibnu Qudamah (rhm) (w. 620 H), dan kitab beliau yang paling bagus adalah al-Mughni

3. Al-Imam an-Nawawi (rhm) (w. 676 H)

4. Al-Hafiz Az-Dzahabi (rhm) (w. 748 H)

5. Al-Hafiz Ibnu Kathir (rhm) ( w. 774 H)

6. Al-Hafiz Ibnu Rajab (rhm) ( w. 795 H)

7. Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-'Asqalani (w. 852 H)

8. Al-Imam As-Shan'ani (rhm)(w. 1182 H)

9. Al-Imam Muhammad 'Abdul Wahhab (rhm) (w. 1206 H)

10. Al-Hafiz Asy-Syaukani (rhm) (w. 1250 H)

11. Kitab-kitab imam-imam dakwah terutama kitab ad-Durar as-Saniyyah fi al-Ajwibah an-Najdiyyah

12. Al-'Allamah Shiddiq Hasan Khan (rhm) (w. 1307 H)

13. Al-'Allamah  Asy-Syanqithi (rhm) ( w. 1393 H) terutama kitab beliau Adhwaa-ul Bayan.

Berkata Al-'Allamah Syeikh Muhammad Salih Al-'Utsaimin(rhm) :

"Termasuk sesuatu yang penting juga adalah seseorang itu hendaklah memilih koleksi kitab perpustakaannya dengan kitab-kitab literature tua(kitab turath) yang ditulis oleh para ulama Salaf......" [ruj : Syarh Hilyah Thalibil 'Ilm / Edisi terjemahan atas judul – Syarh Adab & Manfaat Menuntut Ilmu]


Catatan : Termasuk di dalamnya juga adalah kitab-kitab yang dikarang oleh Muhaddithin(para ahli hadith) sepanjang zaman kerana dua sebab :

Pertama – Perkataan Al-Imam Asy-Syafi'i(rhm)

 

Al-Buwaiti menceritakan bahawa : "Aku pernah mendengar Al-Syafi'i berkata : "Hendaklah kalian berdampingan dengan tokoh-tokoh hadith kerana sesungguhnya mereka adalah orang yang paling banyak kebenaran". Al-Syafi'i juga telah berkata :"Sekiranya aku terpandang seorang lelaki di kalangan tokoh-tokoh hadith, maka seolah-olah aku telah terpandang seorang lelaki daripada sahabat-sahabat Rasulullah SAW. Allah SWT membalas mereka dengan kebaikan. Merekalah yang telah menjaga Al-Qur'an"[ruj : Al-Bidayah wa al-Nihayah li Al-Imam Ibnu Kathir (rhm) ]

Kedua – Perkataan Al-Imam Al-Luknawi(rhm)

Berkata Abu Al-Hasanat Luknawi di dlm kitabnya Imam Al-Kalam (hlm.156) :

"Barangsiapa yang mahu berfikir dengan penuh kesabaran dan menyelami lautan fiqh dan ushul dengan meninggalkan sikap fanatiknya, nescaya dia akan mengetahui dengan seyakin-yakinnya bahawa sebahagian besar persoalan furu' dan ushul yang diperselisihkan para ulama, dalilnya ternyata lebih kuat madzhab Ahli Hadith daripada madzhab lainnya. Setiap kali aku menelusuri sisi perbezaan pendapat, aku menemukan pendapat ahli hadith lebih dekat kepada kebenaran. Semoga Allah memberikan tempat bagi mereka dan memberi balasan kepada mereka. Bagaimana tidak begitu, sebab merekalah yang menjadi pewaris Nabi yang sebenar-benarnya dan pendukung syari'atnya secara jujur. Semoga Allah memasukkan kami ke dalam golongan mereka dan menetapkan kami untuk mencintai mereka dan mengikuti jejak mereka."..[dinukil dari Shifat Shalaat an-Nabi SAW min at-Takbiir ila At-Tasliim ka-annaka Taraaha karya al-Muhaddith Muhammad Nasiruddin Al-Albani.(rhm)]


Wallahua'lam.

Monday, February 7, 2011

Hakikat Umur

Apakah apabila bertambahnya masa, berlalunya hari demi hari maka usia kita bertambah? Mungkin pada hitungan kita ianya bertambah, tetapi pada hakikat yang sebenar, bagi orang-orang yang sedar ia terus berkurang.


Kata Hasan al-Bashri : "Wahai anak cucu Adam, siangmu adalah tamumu. Perlakukan ia dengan baik. Bila kamu memberlakukannya dengan baik, ia akan berlalu sambil memujimu. Dan bila kamu memberlakukannya dengan buruk, ia akan pergi sambil mencelamu. Demikian pula malammu."

"Wahai anak cucu Adam, injaklah tanah dengan kakimu kerana sebentar lagi ia akan menjadi kuburanmu. Usiamu senantiasa diintai maut, sejak kamu keluar dari rahim ibumu"

"Wahai anak cucu Adam, kamu ibarat hari. Setiap satu hari berlalu, hilang pula sebahagian darimu"

[Hilyah al-Awliya' dengan perantaraan The Wisdom of Hasan Al-Bashri - Nashat-nasihat Penerang Hati]

Sunday, February 6, 2011

Akhir Dari Kesedihan..


 Kita kembali lagi ke pintunya Al-Imam Ibnu Jauzi al-Baghdadi untuk mendengar ceritanya..

"Aku pernah menghadapi suatu persoalan yang membuat aku selalu dirundung kesedihan. Aku telah berusaha sekuat tenaga untuk dapat keluar dari rasa duka itu dengan segala macam cara. Akan tetapi, aku selalu gagal dan terbentur jalan buntu. Tiba-tiba terlintas ayat ini di benakku : "Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Dia pasti memberikan jalan keluar " (at-Thalaq : 2)

Tahulah aku bahawa taqwa adalah jalan keluar yang terbaik dari segala kegelisahan dan kegoncangan jiwa. Akhirnya setiap kali aku bersedih, aku mencari jalan keluar lewat jalur ini. Sangatlah tidak wajar jika manusia tidak bertawakkal, tidak mencari sebab segala sesuatu, tidak berfikir untuk taat kepada Allah dan mengikuti semua yang diperintahkan-Nya. Semua itu merupakan kunci-kunci pembuka bagi semua hal yang tertutup.

Yang lebih ajaib lagi ialah bahawa Allah - Pemberi rezeki sering memberikan rezeki itu tanpa disangka-sangka oleh seseorang. "Dia memberikan rezeki dengan cara yang sama sekali tidak terduga "(at-Thalaq : 3). Wajib bagi orang yang bertaqwa untuk tahu bahawa Allah akan senantiasa mencukupinya. Oleh kerana itu, janganlah hatinya tergantung pada apa yang telah ia usahakan. Hendaknya ia menambatkan hatinya pada Allah setelah berusaha, sebagaimana firman Allah SWT dalam lanjutan ayat tadi : "Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya"(at-Thalaq : 3)"

[ruj : Shaid al-Khatir li Ibnu Jauzi al-Baghdadi]

Wednesday, February 2, 2011

Dunia Adalah Kampung Yang Hancur...


Apakah maksud ‘dunia’ ?

 Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al Asqalani(rhm) dalam magnum opus-nya Fathul Baari, kata ini(dun-yaa) memiliki bentuk wazan fu’laa dan berasal dari kata “ad dunuu” yang ertinya dekat. Disebut dunia kerana ia lebih dahulu sebelum akhirat. Ada yang mengatakan, disebut dunia kerana lebih dekat kepada kebinasaan.

Firman Allah SWT : “Dan Aku tidaklah menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka menyembahKu….”[Az-Dzariyat : 56]

Kata Al-Imam an-Nawawi(rhm) selepas mengemukakan ayat di atas : Ini adalah peringatan bahawa mereka diciptakan hanya untuk mengabdi kepada-Nya. Maka sudah semestinya mereka memperhatikan tujuan mereka diciptakan kerananya, dan berpaling dari isi dunia dengan sikap zuhudnya. Dunia adalah kampung yang hancur bukan tempat yang abadi, dia adalah jambatan untuk melintas bukan tempat persinggahan yang sejati. Dia adalah jalan penghubung bukan tempat tinggal yang hakiki. Oleh kerana itu orang-orang yang sedar dari para penghuninya adalah para hamba yang ahli ibadah, dan orang-orang yang paling berakal di dalamnya adalah para zahid (yang mengutamakan akhirat atas dunia)

Allah SWT berfirman : “Sesungguhnya perumpamaan kehidupan dunia itu adalah seperti air(hujan) yang Kami turunkan dari langit, lalu tumbuhlah dengan suburnya kerana air itu tanam-tanaman bumi, di antaranya ada yang dimakan manusia dan binatang ternak. Hingga apabila bumi itu telah sempurna keindahannya, dan memakai (pula) perhiasannya dan pemilik-pemiliknya mengira mereka pasti menguasainya, tiba-tiba datanglah kepadanya azab Kami di waktu malam atau siang, lalu Kami jadikan (tanaman-tanamannya) laksana tanaman-tanaman yang sudah disabit, seakan akan belum pernah tumbuh kemarin. Demikianlah Kami menjelaskan tanda-tanda kekuasaan (Kami) kepada orang-orang yang berfikir”[Yunus : 24]

[ruj : Muqaddimah Riyadhus Shalihin ]



 Demikian juga Syeikh Ibnu 'Utsaimin(rhm) pernah mengatakan :

Sekiranya manusia melakukan muhasabah diri mengapa dia diciptakan, tentu dia akan mengetahui bahawa dia diciptakan semata-mata untuk beribadah kepada Allah SWT, di samping dia diciptakan untuk kehidupan akhirat bukan untuk kehidupan di perkampungan dunia ini, kerana kampung ini hanya sekadar jambatan yang dilewati manusia untuk menuju kampung lain, yakni sebuah kampung yang untuk penghidupan itulah dia diciptakan dan kerana itulah amal diusahakan.

Aduhai sekiranya saja pada hari tertentu seorang manusia berfikir, apakah yang telah aku lakukan? Berapakah lagi sisa umurku di dunia ini? Apa yang telah aku usahakan? Hari demi hari terus berlalu sementara aku tidak tahu apakah aku semakin dekat dengan Allah atau justeru semakin jauh dari-Nya?

Apakah kita sudah menghisab diri sendiri tentang masalah ini? Setiap manusia yang berakal tentu mempunyai tujuan. Lalu apakah tujuannya? Saat ini kita sedang mencari ilmu untuk mendekatkan diri kepada Allah, berusaha meningkatkan diri dan juga membantu orang lain. Apakah setiap kali kita mengetahui dan memahami suatu permasalahan ilmu kita sudah mengamalkannya? Dalam setiap keadaan kita mendapatkan diri kita dalam kelalaian dan kealpaan. Apakah setiap kali kita mengetahui suatu masalah dari hal ilmu kita menyeru hamba-hamba Allah kepadanya? Ini semua memerlukan muhasabah. Setiap orang yang mencari ilmu mempunyai tanggungjawab yang penting. Dia mempunyai kewajipan yang lebih banyak dari zakat harta. Dia harus bertindak dan berusaha menyebarkan ilmu serta membangkitkan kesedaran di tengah umat Islam. Jika tidak, bererti dia telah menyimpang dari syariat Allah."

[ruj : Ibnu 'Utsaimin – Syarh Kitab at-Tauhid @ Al-Qaul al-Mufid 'ala Kitab at-Tauhid]


 Bisyr al-Hafi (rhm) pernah berkata  ketika ingin memasuki kawasan perkuburan :

"Orang-orang yang meninggal di luar pagar lebih banyak daripada yang sudah meninggal di dalam pagar"


Apakah kita termasuk yang telah meninggal di luar pagar itu?

JADUAL BACA BUKU ?

Bagaimana anda mengatur dan menyusun waktu untuk membaca dan menela'ah? Apakah dibuat satu jadual yang khusus atau baca ikut mood saja? Bagaimana pula dengan pemilihan masanya, waktu siang atau malam hari?

Sebelumnya, atau sebelum ada apa-apa jadual bacaan buku, saya berpandangan kita semua mestilah menjadualkan diri untuk melazimi Kitabullah setiap hari. MESTI menetapkan satu masa yang khusus setiap hari untuk membaca Kitabullah.

Kemudian bolehlah dibuat satu jadual harian untuk tujuan bacaan dan tela'ah. Saya suka membahagikan bahan bacaan kepada 4 peringkat :

1) Bacaan Utama - biasanya terdiri dari buku-buku besar yang berjilid-jilid.[ cth : Tafsir Ibnu Kathir]

2) Bacaan Penting - biasanya terdiri dari buku-buku yang penting.[ cth : Jami' al-'Ulum wa al-Hikam]

3) Bacaan Perlu - biasanya terdiri dari buku-buku bersaiz sederhana atau kecil[ cth : Al-'Ubudiyah]

4) Bacaan Tambahan - lain-lain bacaan di atas. [ cth : Biografi Syaikh Al Albani]

Bahan bacaan 1) dan 2) sesuai dilazimi pembacaan di bilik bacaan secara berjadual dan berkala. Bacaan khususnya pada waktu malam, sangat baik jika pada waktu sahur @ dinihari.


Bahan bacaan 3) - boleh dibawa bukunya ke mana-mana. Boleh dibaca di dalam LRT, ketika menunggu waktu solat di masjid, ketika menunggu bas dll.

Bahan bacaan 4) - juga boleh dibawa ke mana-mana, bacaannya lebih bersifat santai, tidak memerlukan fokus yang tinggi.

Ini hanyalah cadangan saya, cadangan anda bagaimana?