Monday, January 18, 2010

Dari Lembaran Tsalatsatul 'Ushul

Syeikh Muhammad bin ‘Abdul Wahhab(rhm) berkata :

“Ketahuilah sesungguhnya wajib bagi kita mempelajari empat masalah.

Pertama : Ilmu – iaitu ma’rifatullah (mengenal Allah), kemudian mengenal Nabi-Nya dan mengenal Dinul Islam berdasarkan dalil-dalil.

Kedua : Mengamalkannya.

Ketiga : Mendakwahkannya.

Keempat : Bersabar terhadap gangguan di dalamnya.

Dalilnya adalah firman Allah Taa’la :

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman, mengerjakan amal salih serta nasihat-menasihati untuk menegakkan kebenaran dan nasihat-menasihati untuk menetapi kesabaran”
(Al-‘Ashr :1-3)

Kata Al-Imam Asy-Syafi’i(rhm) : “Seandainya Allah tidak menurunkan hujah bagi manusia selain surah ini, nescaya telah cukup bagi mereka”

Al-Imam Al-Bukhari membuat satu bab dalam kitab Sahihnya dengan judul : “Bab : Al-‘Ilmu Qabla Al-Qauli wa Al-‘Amali – Bab ‘Ilmu Sebelum Ucapan dan Perbuatan”

Firman Allah Taa’la : “Ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada Ilah selain Allah dan mohonlah ampunan atas dosamu” (Muhammad : 19)

Kata Al-Imam Al-Bukhari(rhm) : “Di sini Allah memerintahkan berilmu terlebih dahulu sebelum beramal”

Ketahuilah setiap muslim dan muslimah wajib mempelajari dan mengamalkan tiga masalah ini.

Pertama : Bahawa Allah telah menciptakan dan memberi rezeki kita. Allah tidak membiarkan kita begitu saja, sia-sia, tetapi mengutus kepada kita seorang Rasul. Barangsiapa menaati Rasul tersebut pasti masuk Syurga, dan barangsiapa mendurhaka kepadanya nescaya masuk Neraka. Dalilnya adalah firman Allah Taa’la :

“Sesungguhnya Kami telah mengutus kepadamu seorang Rasul, yang menjadi saksi terhadapmu sebagaimana Kami telah mengutus seorang Rasul kepada Fir’aun. Maka Fir’aun mendurhakai Rasul itu, lalu Kami siksa dia dengan siksaan yang berat” (Al-Muzammil : 15-16)

[Kata Syeikh Ibnu Utsaimin(rhm) : “Allah pasti mengutus para Rasul kepada manusia agar tegak hujah di hadapan mereka dan agar manusia beribadah kepada-Nya dengan melaksanakan apa yang dicintai dan diredhai-Nya”. Kata beliau(rhm) lagi : “Tidak mungkin kita dapat beribadah kepada Allah dengan melaksanakan apa-apa yang diredhai-Nya kecuali melalui pengabaran dari para Rasul a.s, kerana mereka sahajalah yang dapat menjelaskan kepada kita, apa yang dicintai dan diredhai oleh Allah serta apa yang dapat mendekatkan kita kepada-Nya…..”]

Kedua : Bahawa Allah tidak redha jika ada seseorang dipersekutukan dengan-Nya dalam ibadah kepada-Nya, baik ia seorang Malaikat terdekat mahupun Nabi yang diutus. Dalilnya adalah firman Allah :

“Dan sesungguhnya masjid-masjid itu kepunyaan Allah. Maka jangan menyembah seorang pun di dalamnya di samping Allah” (Al-Jinn : 18)

Ketiga : Bahawa barangsiapa yang menaati Rasul dan mengesakan Allah, tidak boleh memberikan wala’ kepada sesiapun yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya sekalipun mereka itu keluarga terdekat. Dalilnya adalah firman Allah Taa’la :

“Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang Allah telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang dari-Nya. Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pun redha terhadap-Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah sesungguhnya golongan Allah itulah yang beruntung” (Al-Mujadilah : 22)

Ketahuilah –( semoga Allah membimbingmu untuk taat kepada-Nya) – bahawa hanifiyyah, millah Ibrahim itu adalah hendaklah dirimu beribadah kepada Allah dengan mengikhlaskan ketaatan hanya untuk-Nya. Itulah yang diperintahkan Allah kepada seluruh manusia dan untuk itu mereka diciptakan sebagaimana firman Allah :

“Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku” (Az-Dzariyat : 56).

Makna beribadah kepada-Ku di sini ialah mentauhidkan-Ku.

Perintah Allah yang paling agung adalah tauhid - iaitu mengesakan Allah dalam ibadah. Sedangkan larangan-Nya yang paling besar adalah syirik – iaitu beribadah kepada selain Allah di samping beribadah kepada-Nya. Dalilnya firman Allah Taa’la :

“Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu pun…(An-Nisa’ : 36)”

[Kata Syeikh Ibnu Utsaimin(rhm) : Hendaklah kalian beribadah hanya kepada Allah, tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu pun, tidak dengan seorang Nabi yang diutus, seorang Malaikat yang terdekat, seorang pemimpin, raja atau siapa saja di antara manusia. Kalian hanya beribadah kepada-Nya, diiringi rasa cinta(mahabbah), pengagungan(ta’zhim), harap(rughbah) dan takut/cemas(ruhbah).”]

[Nota : Tulisan hijau adalah tambahan dari syarah Al 'Allamah Syeikh Ibnu Utsaimin(rhm).Untuk huraian terperinci penjelasan Syeikh Muhammad bin Salih Al-Utsaimin ke atas matan di atas sila rujuk – Syarh Tsalatsatul Ushul]

Al-'Allamah Syeikh Muhammad bin Shalih Al-'Utsaimin(rhm)