Ini adalah surat yang pernah kutulis hampir 2 tahun yang lalu rentetan perbahasan dan perbincanganku dengan seorang sahabat.
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wrt.
Sesungguhnya sebaik-baik perkataan adalah Kitabullah, sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk (Nabi) Muhammad SAW, sejelek-jelek perkara adalah yang diada adakan(bid’ah) dan setiap bid’ah adalah sesat..(H/R Muslim)
Alhamdulillah ada sedikit kelapangan untuk ana menulis sebagai catatan berkenaan perbincangan beberapa waktu yang lepas.
Perkara pertama adalah berkenaan ‘Aqidah ataupun secara terperinci berkaitan dengan Asma dan Sifat-sifat Allah SWT. Memang sedia diketahui oleh sesiapa sahaja yang mengkaji dengan ‘adil lagi jujur bahawa telah terjadi beragam pendapat dan pandangan dalam persoalan ini semenjak dari dahulu lagi sehingga perbezaan ini melahirkan pelbagai firqah yang dinisbatkan dengan nama-nama tertentu. Dan tercakup di dalamnya ialah perbezaan ‘aqidah Asya’riyah dan ‘aqidah Salaf al-Salih dalam persoalan ini yang kerananya sebilangan umat terpecah belah.
Adalah tidak mungkin ada kaedah yang lebih baik dari kaedah yang diwahyukan Allah SWT kepada Nabi-Nya. Bahkan al-Imam Abu Hasan ‘Ali Al-Asya’ri(lahir 256 H) [yangmana orang-orang yang berbeza pandangan dalam hal Asma wa al-Sifat ini dengan dengan orang-orang yang menisbatkan diri kepada manhaj Salaf menisbatkan diri kepada al Imam al-Mujaddid ini], di marhalah terakhir kehidupannya, ‘aqidahnya dalam persoalan ini adalah di atas manhaj Salaf al-Salih. Untuk ini sila rujuk Tabaqaat al-Syafi’iyyah al-Kubra karya al-Hafiz Ibn Katsir(rhm). Bahkan al Imam Al Juwaini gurunya al-Imam al-Ghazali(w.505 H) yang terkenal sebagai tokoh besar dalam ilmu qalam pun akhirnya mengakui bahawa kaedah ilmu qalam tidak membawa apa-apa kepadanya hingga akhirnya beliau kembali kepada ‘aqidah guru-gurunya yakni teguh di atas manhaj Salaf al-Salih. Inilah antara bukti bahawa tidak ada kaedah yang lebih baik atau lebih tinggi daripada apa yang turun dari langit. Mana-mana kaedah yang direka biarpun dianggap sebagai memiliki pemikiran yang tinggi hakikat sebenarnya adalah bersifat lemah kerana tidak mungkin ada dua kaedah dalam memahami Asma wa al-Sifat yangmana kaedah baru ini menjadi kaedah kedua atau jalan kedua setelah Allah dan Rasul-Nya menunjukki jalan, cara dan kaedah dalam memahaminya. Seandainya kaedah yang direka dengan pemikiran yang tinggi itu akhirnya menghasilkan natijah yang serupa yakni turut mengisthbatkan Sifat-Sifat-Nya sebagaimana Allah dan Rasul-Nya mengithbatkan-Nya atau dalam kata lain hasil akhirnya serupa sebagaimana jalannya para imam kaum muslimin yang terdiri di dalamnya para sahabat, tabi’in dan tabiut’tabii’n maka tidaklah jurang yang wujud menjadi terlalu besar. Namun realitinya kaedah yang memiliki pemikiran yang tinggi ini akhirnya dilihat tidak menghasilkan natijah yang serupa dalam mengimani Asma wa al-Sifat bahkan menafikan sifat-sifat khabariah seperti istiwa, yad, wajh dan lain-lain. Maka dikatakan bahawa kaedah ini bukan sahaja berbeza dengan kaedah Salaf al-Salih bahkan hasil akhirnya membawa kepada penafian sebahagian sifat-sifat-Nya. Bukankah ini semua bertentangan dengan apa yang dibawa Rasul SAW? Sedangkan Allah SWT berfirman : “Dan tidaklah patut bagi seorang mukmin dan mukminah apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan(yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata”(al-Ahzab :36)
Tokoh-tokoh yang terkenal hebat di dalam ilmu qalam seperti Al-Imam Al Juwaini bahkan Al Imam Al-Asya’ri sendiri akhirnya berdiri di atas manhaj Salaf al-Salih dalam mengimani sifat-sifat Allah SWT maka apakah orang-orang yang berada dibawah tingkatan mereka patut terus berpijak di atas ‘aqidah Asya’riyah dan berpaling dari beriman dengan kaedah Salaf al-Salih? Bukankah al Imam Al-Juwaini telah mengabarkan kepada kita kaedah ini tidak membawa apa-apa sedangkan beliau seorang tokoh ilmu qalam yang sangat tinggi keilmuan dan kedudukannya? Lebih jauh dari itu apakah kita terus ingin memilih satu kaedah lain yang natijah akhirnya ialah menafikan sebahagian sifat-sifat Allah SWT?
Adalah sangat tidak bijak bahkan merugikan bila kita berbeza dalam mengimani sifat-sifat Allah SWT dengan caranya Nabi SAW, para sahabat, tabii’n dan para imam kaum muslimin seperti: Al Imam Abu Hanifah, Al-Auzai’, Sufyan at-Tsauri, Malik ibn Anas, Laits Ibn Sa’d, ‘Abdullah ibn Mubarak, Sufyan Ibn ‘Uyainah, Al-Syafi’i,Ahmad bin Hanbal, Ishaq ibn Rahawaih, Abu Hatim al-Razzi, Ibnu Qutaibah, Ibnu Abi ‘Ashim, At-Tirmidzi, Ibnu Jarir at-Thabari, Ibnu Khuzaimah, At-Thahawi, Al-Asya’ri sendiri, Al-Ajurri(pengarang al-Syari’ah), al-Khatthabi(pengarang Maa’lim al-Sunan), Abu Nua’im, Al-Lalikai’, Ibn Abdil Bar, Al-Qadhi Abu Ya’la, al-Khatib al-Baghdadi, Al-Juwaini, al-Baghawi, Syeikh Abdul Qadir Jailani(lihat kitab beliau : Al-Ghunya), ad-Dzahabi, Ibnu Katsir dan lain-lain.
Dan bagi para ulama’ yang berbeza dalam hal ini maka itu adalah ijtihad mereka dan urusannya adalah kembali kepada Allah SWT.
Inilah sahaja tulisan ringkas ana sebagai respon atas perbincangan ilmiah tempoh hari. Ana tidak ada kitab yang dibawa bersama kecuali Tafsir Ibnu Katsir bagi Juzz Amma, maka ana hanya turunkan apa2 yang berupa catitan2 ringkas yang disimpan baik disimpan di dalam helain2 atau yang Allah izinkan kekal dalam ingatan.. Sudah pasti tulisan ini tidak bermanfaat tanpa kajian dari pihak ustaz sendiri [sebagaimana sebuah perbincangan menjadi tidak bermanfaat tanpa kajian yang dilakukan terlebih dahulu bagi topik yang diperbincangkan]. Ana tidak mengharapkan apa2 kecuali pahala dari Allah Azza wa Jalla, mudah-mudahan ana termasuk sebagaimana orang-orang yang sabdakan Nabi SAW di dalam suatu hadith dari Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh al Imam Muslim bin al Hajjaj. Akhirnya ana turunkan sebahagian catitan2 ana sebagai lampiran perbincangan yakni dari al Imam Abu Isa at-Tirmidzi dan al-Hafiz Ibnu Katsir (rhm). Semoga Allah SWT jadikannya bermanfaat bagi orang-orang yang ‘adil lagi jujur dalam mencari kebenaran di dalam dunia yang penuh fitnah ini.
LAMPIRAN 1
Al Imam Abu Isa At-Tirmidzi berkata di dalam Sunannya :
“Dan sungguh telah berkata tidak seorang daripada Ahl al-Ilm tentang hadith ini dan apa yang seumpamanya daripada riwayat-riwayat tentang al-Sifat dan nuzul Rabb Tabaraka wa Taa’la pada setiap malam ke langit dunia. Mereka berkata riwayat-riwayat seperti ini adalah tsabit dan berimanlah kepada ia dan jangan dibayangkan dan jangan ditanya bentuk, ciri-ciri dan kaifiatnya. Inilah yang telah diriwayatkan daripada Malik dan Sufyan Ibn ‘Uyainah dan ‘Abdullah Ibn Mubarak. Sesungguhnya mereka telah berkata tentang hadith-hadith seperti ini : terimalah ia tanpa mempersoalkan bentuk, ciri-ciri dan kaifiat dan demikianlah pendapat ahl al-Ilm Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.
Manakala golongan al-Jahmiyyah mereka mengingkari riwayat-riwayat seperti ini sambil berkata ini adalah tasybih. Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menyebut hal ini tidak sekali dalam kitab-Nya seperti Tangan dan Pendengaran dan Penglihatan akan tetapi golongan al-Jahmiyyah telah menakwilkan ayat-ayat ini dan menafsirkannya kepada sesuatu yang berlainan daripada tafsiran ahl al-Ilm. Mereka berkata bahawa sesungguhnya Allah tidak menciptakan Adam dengan Tangan-Nya. Mereka berkata maksud Tangan-Nya di sini ialah Kekuatan-Nya. Padahal berkata Ishaq Ibn Ibrahim: “Sesungguhnya yang dianggap tasybih hanyalah apabila seseorang berkata Tangan sepertimana tanganku, Pendengaran sepertimana pendengaranku atau seumpama pendengaranku. Justeru apabila seseorang berkata Pendengaran sepertimana pendengaranku maka barulah dia dianggap tasybih.
Namun apabila seseorang berkata sebagaimana firman Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya : Tangan dan Pendengaran dan Penglihatan tanpa dipersoalkan bentuk, ciri-ciri dan kaifiatnya dan tidak dikatakan seumpama pendengaranku dan tidak juga dikatakan sepertimana pendengaranku maka ini tidak dianggap sebagai tasybih. Malah ia adalah sepertimana firman Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya: “Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia dan Dia-lah Yang Maha Mendengar Lagi Maha Melihat”(Al-Syura : 11).
[Rujuk : Sunan al-Tirmidzi Tahqeeq Syeikh Ahmad Muhammad Syakir dan rakan-rakan , Dar al-Hadith, Kaherah 1999, Jilid 3 Halaman 33 –Kitab Zakat, Bab tentang keutamaan bersedekah] – dinukil dari buku : Pembongkaran Jenayah Ilmiyyah Buku Salafiyyah Wahabiyyah Satu Penilaian.
[Edisi terjemahan sila rujuk : Sunan at-Tirmidzi terjemahan oleh Moh. Zuhri, Victory Agencie, KL 1993, Jilid 1 Halaman 800-801]
LAMPIRAN 2
Al Hafiz Ibnu Kathir ad-Dimasyqi berkata di dalam kitab tafsirnya :
“Adapun firman Allah Azza wa Jalla yang berbunyi :……”kemudian Dia istiwa di atas ‘Arasy” (Al-A’raaf : 54), maka muncul beragam pandangan yang sangat banyak dan tidak mungkin pada kesempatan ini kami menyebutkannya. Tapi, pandangan yang kami ikuti berkenaan dengan masalah ini adalah pandangan Salaf al-Salih seperti Malik, al-Auzai’, al-Tsauri, al-Laits Ibn Sa’d, al-Syafi’i, Ahmad, Ishaq Ibn Rahawaih dan yang lainnya yang terdiri dari para imam kaum muslimin sejak dahulu mahupun sekarang. Mereka mempunyai pandangan mengambil ayat seperti apa adanya dengan tidak menanyakan bagaimana(takyif), juga tidak menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya(tasybih) serta tidak meniadakan Sifat itu(ta’thil), sedangkan yang terlintas pada fikiran orang-orang musyabbihin adalah dinafikannya dari Allah kerana Allah tidak serupa dengan sesuatu pun dari makhluk-Nya.Tidak ada sesuatu pun yang seperti Dia dan Dia Maha Mendengar Lagi Maha Melihat. Dalam hal ini pendapat orang-orang yang menganggap bahawa jika kita menetapkan sifat-sifat itu bagi Allah bererti kita telah menyerupakan Allah adalah tidak benar, yang benar adalah seperti apa yang diucapkan oleh para imam salaf di antaranya adalah Imam Na’im bin Hammad syaikhnya al-Bukhari, ia berkata : “Barangsiapa yang menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya bererti ia kafir. Dan barangsiapa yang mengingkari apa yang Allah sifatkan untuk diri-Nya bererti ia kafir, dan tidak ada tasybih pada apa yang dengannya Allah dan Rasul-Nya mensifati diri-Nya.” Jadi orang yang menetapkan bagi Allah SWT apa yang disebutkan oleh ayat-ayat yang sharih dan hadith-hadith yang sahih sesuai dengan kebesaran Allah dan menafikan dari Allah SWT sifat-sifat kekurangan bererti ia menempuh jalan hidayah”
[Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim 2/22] –dinukil dari : Manhaj ‘Aqidah Al Imam Asy-Syafi’I (rhm) karya Dr. Muhammad Abdul Wahab al-‘Aql hlm 42-43.
No comments:
Post a Comment